Tuesday, November 3, 2009

MARILAH KITA NEUTRALKAN PANDANGAN KITA TENTANG ISU ASRI!

Berkenaan Tangkapan Dr Mohd Asri : Suatu Pandangan

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

Bekas Mufti Perlis tidak dinafikan mempunyai ramai penyokong dan juga pembenci. Itu sudah tabiat manusia yang amat pelbagai. Kita tidak akan mampu untuk mengelakkan diri dari berbeza pendapat, saya juga banyak berbeza pendapat dengan beliau. Kita juga adakalanya tidak mampu untuk mengelak diri dari dibenci secara tiba-tiba, apatah lagi jika seseorang itu terkenal.

Namun, yang dibimbangi adalah perbezaan pendapat yang membawa kepada permusuhan yang dahsyat, label melabel, tuduh menuduh, dan sesat menyesatkan. Sehingga jika diselami hati para pembenci, pasti ada terlihat keinginan yang amat luar biasa malah keji seperti ingin melihat pihak yang lain ditangkap, dipenjara atau lebih dari itu, meninggal dunia.

Padahal isu yang berbangkit kebanyakannya adalah isu yang bersifat zhonni atau yang menerima perbezaan takwilan dan pandangan. Tidak wajar dipergaduhkan dalam bentuk yang ekstrem dan keras. Memadailah untuk mengemukakan hujjah balas kepada apa yang dirasakan lemah, dan kemudian jika pihak di sebelah sana tidak dapat menerimanya, berlapang dadalah.


Selain itu, janganlah dengan mudah menggelarkan seseorang dengan gelaran Wahabi serta terkeluar dari kelompok ahli Sunnah wal Jamaah. Adalah tidak tepat untuk menuduh pandangan ijtihad selain mazhab Syafie adalah Wahhabi, kerana kebanyakkan pendapat yang lain yang diterima pakai oleh sebahagian kelompok di Malaysia (yang berlainan) sebenarnya bukanlah ijtihad Wahabi tetapi adalah dari kalangan mazhab-mazhab ahli sunnah yang lain seperti Hanbali, Maliki dan Hanafi.

Sebagai contoh:

tidak melakukan qunut Subuh adalah ijtihad mazhab Hanbali dan Hanafi,
menggoyangkan jari ketika Tashahhud solat adalah pandangan Maliki,
membolehkan memgang anjing tanpa samak adalah ijtihad Maliki,
tidak membaca basmalah dengan kuat di awal fatihah ketika solat Maghrib, Subuh dan Isyak adalah ijtihad Hanbali dan Maliki dan banyak lagi.
Isu-isu sebegini kerap disalah ertikan sehingga disenaraikan sebagai ciri pengikut Wahabi. Ini tidak benar sama sekali, malah Wahabi itu bukan sebuah mazhab Fiqh atau Aqidah serta tidak mempunyai takrifan yang khas di kalangan para ilmuan Islam sedunia.

Malah menurut sebahagian pandangan ulama antarabangsa, istilah itu dipelopori oleh musuh-musuh Islam dari kalangan bukan Islam, untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam. Memang benar, terdapat ulama moden yang menggunakan istilah tersebut di dalam penulisan mereka, namun ia merujuk kepada pengikut aliran Muhammad Ab Wahab di Saudi suatu ketika dahulu, ia bukan sebuah mazhab yang khas.

Di sebelah pihak yang lain pula, jangan pula terlalu ringan lidah menggelar sesuatu amalan itu sebagai bid'ah, sesat, ahli bid'ah dan lain-lain gelaran yang menyakitkan telinga. Gunakan hikmah dalam nasihat, hujjah dan panduan, bukan hukuman dan kejian. Perlu disedari bahawa hujjah YANG DIYAKINI KITA SEBAGAI KUKUH tidak semestinya dinilai kukuh dan tepat oleh ilmuan lain berdasarkan dalil dan kaedah yang juga betul serta diterima dalam displin ilmu Fiqh atau Aqidah Islam.


Imam Muhammad Ibn Sirin berkata :

" Sesiapa yang tidak tidak mengkaji kepelbagaian pendapat fiqh, mereka sebenarnya belum pun dapat mencium bau Fiqh itu"

Bau Fiqh pun belum dapat, apatah lagi inti Fiqh itu sendiri. Banyak menuduh dan meggelar mungkin akan boleh memberikan indikasi bahawa mereka yang terlibat sebenarnya belum menghidu bau Fiqh. Belum masak dan matang dalam ilmu Fiqh.

BERLAPANG DADA, IKTIRAF USAHA & PANDANGAN

Imam Al-Awza'ie ketika ditanya berkenaan sama ada batal wudhu atau tidak bagi lelaki yang mencium isterinya menjawab :

Ertinya : Jika seseorang bertanya kepadaku, aku akan menjawab, batal dan perlu mengambil wudhu semula, namun sekiranya dia tidak mengambil wudhu, aku tidak akan mengutuknya ( Tartib At-Tamhid, 3/345 )

Imam Ahmad Bin Hanbal pula pernah ditanya sama ada sah solat yang menggunakan kulit musang. Jawabnya :

Ertinya : "JIka perbuatannya itu adalah hasil pemahamannya dari nas ((Apa-apa yang disamak maka telah menjadi suci )), lalu bolehlah solat di belakangnya"[1]

Maka ditanya : Adakah engkau juga melihatnya sebagai harus?

Imam Ahmad menjawab

لا , نحن لا نراه جائزا ولكن إذا كان هو يتأول فلا بأس أن يصلي خلفه

Ertinya: Tidak, kami tidak melihatnya harus, tetapi dia ingin menafsirkannya (menggunakan) nas itu, tiada masalah untuk solat di belakangnya.[2]

Al-Qaradawi menegaskan bahawa kewujudan dua pendapat betul dalam satu masalah, sememangnya boleh berlaku. Beliau mengatakan, mungkin satu pihak mengambil rukhsah, yang lain mengambil ‘azimah. Atau kedua-dua benar dalam situasi tertentu yang berbeza, atau kedua-duanya benar sebagaimana wujudnya qiraat bacaan Al-Quran.

Banyak lagi kisah-kisah sebegini yang amat baik untuk difahami dan dihayati. Malah perlu difahami juga, hal ini juga boleh berlaku didalam perihal aqidah. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa ilmu aqidah itu terbahagi kepada [3]

a) Usul Aqidah : iaitu ilmu bersumber ayat Al-Quran yang tidak terdedah kepada sebarang tafsiran dan takwilan menurut ilmu Usul Fiqh seperti kewujudan Allah, keesaanNya, sifat kesempurnaanNya dan banyak lagi.
b) Furu' Aqidah : Ilmu aqidah yang bersumber ayat Quran dan Hadis sohih tetapi terdedah kepada tafsiran dan takwilan yang sesuai menurut kaedah-kaedah ilmu Usul Fiqh. Seperti Syafaat di akhirat, Melihat Allah di syurga, mentakwil ayat sifat Allah, Imam Mahdi, penurunan Nabi Isa a.s dan banyak lagi.
Justeru, bagi memahami pembahagian ini, perlu difahami sebaiknya ilmu dalalatul ahkam di dalam pengajian ilmu Usul Fiqh.

Saya membawakan hal ini sekadar ingin memaklumkan kepada pembaca bahawa hal ini jika tidak dihayati dan difahami dengan sebaiknya, akan mula muncul perasaan ingin menghina dan bermusuh dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita.

Namun ingat, segala perbezaan ini mestilah datang dari mereka yang berkeahlian.

Yang paling perlu dielakkan adalah, seorang alim melayan debat dengan seorang jahil.

Ia sangat membuang waktu dan menyakitkan kepala sahaja. Kerana si jahil tidak akan mampu memahami laras bahasa dan istilah yang digunapakai oleh si alim. Justeru, tindakan terbaik bagi si alim adalah diam.

Kesimpulannya, dibenarkan untuk menolak hujjah pihak yang lain, namun dalam pada kritikan ilmiah dibuat, jangan lupa juga mengiktiraf bahawa pihak yang lain juga ada niat baik untuk kebaikan Islam. Masing-masing merasakan pendekatan dan ilmu mereka adalah yang lebih tepat untuk membawa kepada keagungan Islam.

Namun jangan terlupa, ruang kesilapan masih boleh wujud di pihak kita. Saya sendiri sering mengingatkan diri saya ketika mengulas isu-isu kewangan dan riba, bahawa saya mungkin boleh berada di pihak yang kurang kuat dan tidak kukuh hujjahnya,

Justeru itu kerap saya katakan kpeada mereka yang sibuk dan marah-marah dengan pandangan saya,

"Pandangan dan tulisan saya tidak wajib ke atas sesiapa untuk mengambilnya, anda bebas untuk terima atau menolaknya"

Cuma harapan saya, jika menolaknya, tolaknya disebabkan kerana hujjah yang lebih meyakinkan dari mereka yang berkelayakan bukan kerana kita terlibat dalam bisnes itu nescaya mesti nak jadikan ia halal, atau dalam kata lainnya, kerana nafsu sendiri.

TANGKAPAN JAIS: SIAPA UNTUNG?

Memang benar JAIS punyai hak mendakwa sesiapa sahaja yang berceramah tanpa tauliah, itulah yang diarahkan oleh Sultan Selangor selaku Ketua Agama di Negeri Selangor.

Namun demikian, saya kira untuk menangkap seorang bekas Mufti sebuah negeri yang telah diiktiraf keilmuannya oleh UIAM sehingga diberi PhD dalam bidang agama, juga oleh Raja Perlis sehingga dilantik menjadi Mufti negeri dan diberi anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Negeri. Tindakan itu boleh dikatakan kurang bijak dan secara tidak langsung memperkecilkan penilaian Raja Perlis, Universiti Sains Malaysia (USM) dan banyak pihak lain yang berautoriti.

Bagi saya isu ini lahir hasil ‘sakit hati' yang datang dari pertembungan kedua-dua belah pihak, penyokong dan penentang Dr Asri di Malaysia.

Dr Asri di sebelah pihak yang dikatakan ingin membawa pembaharuan dalam pemikiran agama di Malaysia, manakala sebelah pihak lain adalah mereka yang meyakini sudah cukup dengan cara dan pemikiran agama yang sedia ada, nescaya pertembungan berlaku.

Bermula dari sedikit, ia menjadi semakin besar apabila anak-anak murid fanatik menyemarakkan api pertengkaran serta kutuk mengutuk. Tidak terkecuali kedua-dua pihak mempunyai tekong ‘bergaduh' yang hebat, aktif serta dinamik dalam tugas kurang sihat ini.

Saya yakin, penangkapan Dr Asri berpunca dari perkembangan kurang sihat tersebut tadi, ia sangat mudah dibaca dari laman-laman web ‘tekong-tekong gaduh', ya amat pasti dan ia seolah-olah satu open secret bagi kedua-dua pihak. Ketiadaan tauliah hanya dijadikan alat dan cara berselindung di sebalik undang-undang yang sedia ada.

Memorandum Persatuan Peguam Syar'ie Malaysia boleh memberikan pengesahan berkenaan persengketaan dan perbalahan ini.

Namun sebenarnya, siapa yang untung dengan tangkapan ini?

Memang benar, untung rugi bukan persoalannya di sini, tapi pastinya yang membenci ingin kononnya mematikan dan menggangu gerakan yang dibawa oleh Dr Asri. Dirasakan cara ini adalah terbaik bagi menakutkan kumpulan itu.

Tetapi nampaknya, tangkapan itu menjadi back fire kepada mereka.

Ya benar, saya berasa yakin kini pihak yang tidak menyukai Dr Asri akan merasa tertampar dengan liputan media terhadap isu ini.

Sebagai orang luar dan pemerhati saya lihat, tiada banyak keuntungan diperolehi oleh pihak yang membenci Dr Asri, kerana tangkapan ini hanya menaikkan populariti beliau, malah kalau sebelum ini Dr Asri hanya menceritakan secara peribadi dan agak tertutup berkenaan sokongan pelbagai orang berjawatan besar, ternama dan pelbagai parti politik kepadanya, namun dengan berlakunya hal ini, sokongan tersebut menjadi nyata kepada awam.

Perdana Menteri memberi sokongan,

Mursyidul Am PAS

Menteri Agama,

Menteri Besar Selangor,

Ketua Pemuda UMNO,

Dibincang di dalam Parlimen Malaysia

Ketua Pemuda PAS,

Bekas YDP YADIM,

Tajuk besar beberpaa buah akhbar perdana,

Serta ramai dan banyak lagi

Semua ini membuka lebih besar jalan kepada Dr Asri untuk mendapat samada perhatian, sokongan dan dakwahnya juga akan semakin dekat dan sampai ke hati orang ramai yang baru tertarik untuk membaca blognya, mendengar ucapannya dan sebagainya. Semua ini akibat dari isu penangkapan tersebut.

"Jadi ustaz, siapa yang rugi dan siapa yang untung ? " tanya seorang kenalan di UK

"Sudah tentu Dr Asri dan gerakannya, jadi kalau di ketika ini ahli-ahli gerakannya perlu tampil kehadapan dengan lebih aktif untuk menerang dan menjelas, mereka akan mendapat merit yang banyak, Malah ORANG YANG TAK SOKONG pun boleh jadi sokong kerana mula berasa SIMPATI"

"Namun demikian, mesti disedari, populariti juga boleh ‘membunuh' seseorang ahli agama, rasa ujub, riya dan takbur amat mudah berkembang. Justeru itu dia kena jaga. Kelak nanti setiap lafaz boleh berubah menjadi sombong. Teguran pula akan sentiasa dibakul sampahkan kerana merasa diri sangat popular dan berpengaruh. DAN ORANG YANG SOKONG pun boleh jadi TIDAK sokong kerana mula berasa MELUAT" Tegas saya lagi menjelaskan.

Demikian pendapat saya sebagai pemerhati dari luar, ya luar negara.

SUDAH-SUDAHLAH BERBALAH : BERDAMAILAH

Satu lagi, saya amat ingin melihat kedua-dua pihak menambahkan sikap lunak dan lebih bijak. Benar, bijak itu banyak caranya, keras dan garang juga mungkin sahaja tergolong dalam tindakan yang paling bijak dalam keadaan tertentu. Cuma lunak dan lembut adalah lebih digemari oleh Nabi s.a.w berbanding keras dan kasar.

Jangan pula mengatakan:

"Ala dia yang mula mengutuk dan mengecam, kita balaslah, geng dia saman dulu, kita bagilah dia tindakan undang-undang sebagai balasan"

Ini satu sikap yang tergambar hati yang busuk serta tidak matang. Jangan sampai orang melakukan cara ahli neraka, maka sebagai balasan, kita juga ingin menjadi sepertinya.

Selain itu, saya berkongsi bahawa ulama silam yang hebat kerap meninggalkan kontroversi dan konfrontasi dengan pegangan ahli agama setempat.

Jika ingin membawa perbezaan pendapat sekalipun, sewajarya dilaksana secara berperingkat tanpa menyakitkan sesiapa dengan kata-kata yang mudah disilaptafsirkan, khususnya bagi mereka yang sudah benci.

Ali Abi Talib diriwayatkan berkata :

أقضوا ما كنتم تقضون فإني أكره الإختلاف حتى يكون للناس جماعة

" Putuskanlah hukuman mengikut apa yang telah kamu biasa putuskan, sesungguhnya kau tidak gemar kepada perbezaan agar orang ramai boleh tersu berada di dalam satu jemaah (Tarikh Baghdad, 8/42)

Ahmad Bin Hanbal berkata :

لا بنبغي للفقيه أن يحمل الناس على مذهبه ولا يشدد عليهم

Ertinya : Tidak sewajarnya seorang ahli Fiqh, mendorong orang ramai kepada pegangannya dan berkeras atau memaksakannya (menerima pandangannya) ke atas orang ramai

Benar, perbalahan sesama kita hanya menyebabkan kita letih di pertengahan jalan, kerja gagal dijalankan, imej Islam pula yang menjadi semakin buruk. Kerana itulah ulama haraki seperti Imam Hasan Al-Banna menyarankan agar kita maju ke depan dengan tugas dan usaha masing-masing, lalu satu kaedah yang amat baik dari Syeikh Rashid Redha dicadangkan :

نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما نختلف فيه

Ertinya : "Kita bekerjasama dalam perkara yang telah kita sepakati, dan saling menguzurkan diri dari perkara yang diperbezakan"

Akhir sekali, HENTIKANLAH berbalah, kutuk mengutuk, fitnah memfitnah dan tangkap menangkap disebabkan oleh perbezaan pendapat dalam hal agama oleh mereka yang berkelayakan. Ia mencemar imej Islam dan menjatuhkan keyakinan mad'u kita yang sebenar kepada Islam.

Firman Allah :-

وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Ertinya : Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. ( Al-Anfaal : 26 )

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

2 Nov 2009


--------------------------------------------------------------------------------

[1] Al-Mughni,Ibn Qudamah, 2/11

[2] Adab Al-Ikhtilaf, hlm 37

[3] Kayfa Nata'amal Ma'a Turath wa At-Tamazhab wal Ikhtilaf, Al-Qaradawi, Maktabah Wahbah, Mesir, 2001, hlm 142

Sunday, November 1, 2009

Dr Asri cabar Peguam Syarie, Nakhae buktikan tuduhan

KUALA LUMPUR, 1 Nov : Sidang media tergempar semalam bagi menjelaskan tuduhan fitnah dan bantahan lantikan jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini.



Dalam sidang media di Taman Tun Dr Ismail itu, Dr Asri membidas fitnah yang dilemparkan terhadapnya oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Badan-Badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Yadim dalam satu memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini (lihat di sini)

Beliau menjelaskan antara fitnah yang terkandung dalam memorandum bertarikh 12 Oktober lalu yang dimuatkan dalam laman web PGSM ialah mendakwa beliau tidak mengiktiraf iktikad ahli sunnah dan keluar dari Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hambali serta menolak hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Menurut Mohd Asri lagi tuduhan lain yang dianggap melampau ialah dakwaan yang mengatakan beliau telah mencerca golongan ulama seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali.

"Bagi saya untuk membantah lantikan itu adalah hak dia... tetapi jangan membuat fitnah dan tuduhan-tuduhan yang melibatkan maruah dan bidang keilmuan.

"Ia seolah-olah nak menggambarkan saya ini sesat dan ini satu tuduhan yang amat berat.

"Saya mahu mereka buktikan hanya sepotong ayat sahaja tentang tuduhan-tuduhan itu termasuk di mana saya mencerca ulama," katanya di hadapan para wartawan daripada media arus perdana seperti TV3, RTM, NTV7, Utusan, Berita Harian dan The Star.

ImageMenurut Dr Asri tuduhan berunsur fitnah tersebut timbul atas perasaan tidak puas hati pihak-pihak tertentu berikutan penawaran jawatan itu terhadapnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam satu majlis tazkirah pada Ramadan yang lalu.

"Saya tahu dalang di sebalik Memorandum ini. Sejak jawatan itu ditawarkan maka ada beberapa pihak yang barangkali tidak selesa, tapi itu tidak mengapa untuk mereka berikan pandangan," katanya.

Sementara itu, Dr Asri turut membangkitkan persoalan kepada Yang Dipertua Yadim Dato' Nakhae Hj Ahmad berhubung dakwaan bahawa beliau tidak diterima oleh majoriti penyokong Umno dan tidak diterima oleh PAS selama ini.

"Saya nak tanya dia...(Nakhae), dia sendiri pun ditolak oleh PAS dan bertanding di Baling atas tiket Umno pun kalah.

"Kalau ini nak dijadikan kriteria untuk jawatan Yang Dipertua Yadim, saya rasa banyak lagi yang dia tak layak," katanya yang turut menyatakan keputusannya di atas tawaran tersebut.

Katanya berdasarkan pekembangan terbaru ini, beliau tidak berminat untuk menerima tawaran jawatan Yang Dipertua Yadim itu dan lebih selesa memberi pandangan sebagai 'pihak ketiga' yang tidak terikat dengan mana-mana pihak seperti kerajaan, Umno dan PAS.

Turut ditanya tentang spekulasi penyertaannya di dalam PAS yang heboh dperkatakan, beliau menafikan dakwaan itu.

"Ketua Dewan Ulama PAS menjemput saya untuk sertai PAS.

"Sebenarnya saya mempunyai hubungan yang cukup baik dengan para pemimpin PAS dan Umno tetapi saya rasa lebih baik menjadi suara ketiga buat masa ini," katanya yang selalu menerima dan memenuhi jemputan ceramah daripada kedua-dua parti.

Dalam sidang media itu, Dr Asri turut ditanya asama ada akan memanggil satu forum tebuka atau debat bagi menjelaksna setiap pertuduahan dan merungkai kekeliruan umat Islam berhubung isu ini, beliau setakat ini mahu pihak yang terbabit membuktikan tuduhan dan fitmah yang dilemparkan.

"Cukuplah saya beritahu melalui media bahawa perkara ini adalah bohong, saya belum berfikir untuk saman.

"Saya harap Yang di-Pertuan Agong juga membaca penjelasan saya, tapi mungkin juga saya boleh fikirkan (untuk menulis penjelasan rasmi) jika ada ruang boleh juga,"katanya yang kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia.

Antara tuduhan lain yang terdapat dalam memorandum berkenaan ialah Dr Asri didakwa sering mengambil tindakan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kepentingan umat Islam secara keseluruhannya.

Selain itu dalam memorandum itu juga dinyatakan pendekatan ekstrem Dr Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umat Islam di seluruh negara khususnya negeri Perlis.

Juga dinyatakan bahawa cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahan dan beberapa kejadian pergaduhan.

"Perbezaan pendapat ini, sudah lama malah Prof Hamka juga pernah menegur Mufti Johor dalam beberapa hal," katanya sambil menunjukkan buku Hamka kepada pihak media.

"Saya juga dituduh mencerca imam Nawawi sedangkan sebahagian besar kuliah saya di Lembah Kelang menggunakan kitab Nawawi," katanya yang turut menjelaskan beberapa isu kontroversi yang pernah ditimbulkan beliau sebelum ini.

Sementara itu Mohd Asri turut mencadangkan supaya Jabatan Audit Negara melakukan siasatan terhadap YADIM bagi menyemak tentang beberapa perkara.

"Apabila timbul isu Yadim ini, saya ada semak beberapa perkara, mungkin semakan saya ini betul ataupun salah.

"Saya mencadangkan kepada pihak audit negara supaya melakukan audit kepada Yadim sekarang, ini adalah perkara yang patut dibuat dan kita mungkin akan bertemu dengan banyak perkara," katanya tanpa mengulas lanjut.

Sidang media sekitar 45 minit bermula jam 8.00 malam itu, turut dihadiri NGO-NGO Islam yang lain yang memberi sokongan kepada beliau antaranya AL-Mizan Kuala Pilah, Al-Qayim, Al-Qadim, Al-Nidaa yang penanungnya adalah Raja Muda Perlis, peguam dan para pendokong As-Sunnah di Malaysia.

Mengakhiri sidang media, Dr Asri sekali lagi mahu pihak yang terbabit membuktikan tuduhan-tuduhan yang mencemar nama baik beliau dan mengelirukan umat Islam di negara ini.

"Membantah atau perbeza pendapat itu boleh tetapi jangan jadi pembohong, pendusta!" katanya tegas.

Monday, October 26, 2009

PENGEKALAN MUMMI FIRAUN DI ZAMAN NABI MUSA A.S


Nabi Musa AS adalah salah seorang nabi yang digelar dengan gelaran Ulul Azmi kerana cabaran perjuangan yang dihadapinya. Perjuangan baginda untuk menegakkan agama Allah dalam erti kata tauhid hanya kepada Allah dan membebaskan penindasan Firaun terhadap Bani Israel telah mendapat penentangan yang nyata daripada Firaun dan para pembesar kaumnya.

Keangkuhan Firaun semakin menyerlah ketika beliau bermati-matian menolak dakwah nabi Musa AS dan mengakui dirinya sebagai Tuhan, Allah berfirman:

Firaun berkata: "Demi sesungguhnya! Jika engkau menyembah Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan" (al-Syu’ara’[26:29]).

Selain itu, Firaun juga sudah sekian lama menindas Bani Israel dengan cara memperhambakan mereka serta membunuh anak-anak lelaki mereka serta hanya membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Langkah ini diambil untuk memastikan unsur–unsur penentangan kepada kerajaan miliknya dihapuskan sama sekali. Allah berfirman:

Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan (al-Qasas[28:4]).

Firaun juga telah menyalib, memotong tangan dan kaki secara bersilang dan membunuh kesemua ahli sihir upahannya yang telah tertewas di tangan nabi Musa semasa pertandingan sihir yang telah diadakan. Tindakan Firaun membunuh kesemua ahli sihirnya bertujuan untuk menakut-nakutkan kaumnya dan Bani Israel agar tidak beriman kepada nabi Musa AS. Peristiwa tersebut telah direkodkan oleh al-Quran di dalam surah al-A’raf:

Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatnya).

"Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian aku akan memalang kamu semuanya".

Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami (dan kepadaNyalah kami mengharapkan keampunan dan rahmatNya).

"Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami". (Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)".

Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: "Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?" Firaun menjawab: "Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka".

(al-A’raf[7:123-127]).


Namun begitu, walau sekuat mana sekalipun kuasa dan penentangan yang diberikan oleh Firaun, dia tidak mampu untuk melawan kehendak Allah yang ingin memusnahkannya. Kemusnahan Firaun berlaku akibat daripada doa nabi Musa yang dimakbulkan oleh Allah: Firman Allah :

Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.

Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)".

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)".

(Allah berfirman): "Adakah sekarang (baru engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.

"Maka pada hari ini, Kami selamatkan badanmu (yang tidak bernyawa) (hai Firaun), supaya menjadi tanda (pelajaran) bagi orang-orang yang datang sesudahmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!".

(Yunus[10:88-92]).


Di dalam ayat ke 92 di atas, Allah telah menyatakan satu kenyataan yang cukup ringkas dan menarik tentang bagaimana jasad Firaun yang mati lemas itu diselamatkan untuk menjadi iktibar dan pengajaran kepada generasi selepasnya. Seperti kebiasaan tradisi Mesir Purba, mayat para Rajanya biasanya akan diawet untuk mengekalkannya. Mummia Firaun ini telah ditemui pada tahun 1898 di Kuburan Necropolis (negara orang-orang mati) Thebes, di Lembah Raja-raja (Wadi al Muluk). Ianya juga masih dapat disaksikan di muzium Kahirah Mesir sehingga ke hari ini.

Sungguh mengajaibkan sekali bagaimana mummia ini dapat bertahan sedemikian lama kira-kra 3000 tahun. Penemuannya pada kurun ke 19 itu juga menjadi bukti bagaimana janji Allah tentang pengekalan mummia ini sebenarnya sudah berada di dalam jadual Allah kepada umat akhir zaman.

Persoalannya bagaimanakah al-Quran yang diturunkan pada zaman nabi Muhammad SAW mampu untuk membicarakan suatu fakta yang hanya dapat dikenalpasti pada zaman kemudiannya . Tidak lain tidak bukan ini adalah contoh mukjizat al-Quran yang merupakan wahyu yang pasti daripada Allah SWT.

Thursday, October 15, 2009

SAMBUT HARI RAYA DENGAN KARAOKE & PAHA KENA TUTUP KE?


Malam tadi, semasa keluar minum dengan Encik Munawer & Encik Samad (Pengerusi & Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Selayang Mulia), banyak isu dibangkitkan oleh mereka dalam rangka untuk mengislah penduduk di Taman Selayang Mulia. Perjumpaan ini berikutan teguran saya terhadap sessi karaoke semasa majlis Sambutan hari raya minggu lepas.

Dalam majlis hari Raya lepas, telah berlaku insiden yang kurang sesuai di mana segelintir penduduk yang dipelopori oleh beberapa AJK galak berkaraoke sehingga jam 1tengahari. Tindakan berkaraoke di dalam majlis sebegini memang tidak elok kerana majlis telah dibuka dengan bacaan doa & tazkirah oleh saya sendiri.
Seingat saya, sepanjang hampir 3 tahun saya berada di Taman ini, belum ada lagi peristiwa karaoke sebegini tetapi kenapa sekarang baru bermula?

Saya menegur tindakan itu kerana merasakan tabiat berkaraoke hanya sesuai dilakukan secara tertutup di rumah atau lebih elok lagi dielakkan sama sekali kerana sudah jelas akan ke'laghaan'nya. Tambahan pula penggunaan mikrofon yang boleh didengar sejauh 1 km jelas mengganggu penduduk setempat yang mungkin ingin beristirehat.

Saya katakan kepada AJK, sekiranya amalan ini tidak dibendung, tidak mustahil, budaya songsang berkaraoke di khalayak ramai ini akan menjadi fenomena baru di Selayang Mulia. Bahkan tidak mustahil Ustaz Abdullah Bukhari sendiri pun akan layan lagu "Gadis Melayu" juga. Mengerikan bukan? Kenapa? Kerana suara saya memang tak sedap!

Saya berpendapat orang yang sempat berkaraoke, sebenarnya orang yang tidak ada kerja dan lemah daya inteleknya kerana boleh membuang masa menyanyi melayan suara yang tidak seberapa merdu pun.

Kalau masih ingin berkaraoke, mengapa tidak ditukar kepada karaoke ayat-ayat al-Quran? Apa yang pasti, tindakan abang-abang, ayah-ayah, pakcik-pakcik & haji-haji yang galak berkaraoke itu akan menjadi ikutan teladan kepada orang-orang muda yang lain. Pada pandangan saya yang masih muda ini, contoh berkaraoke bukanlah satu contoh yang baik untuk diwariskan kepada generasi muda seperti kami....

Berhati-hati dengan legasi peninggalan kita! Perhatikan hadith ini:

Barangsiapa yang mengasaskan satu sunnah(budaya) yang baik di dalam Islam,maka baginya pahala amalan itu dan pahala bagi orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangkan walau sedikitpun DAN BARANGSIAPA YANG MENGASASKAN SATU BUDAYA BURUK DI DALAM ISLAM, MAKA BAGINYA DOSA AMALAN TERSEBUT & DOSA ORANG YANG MENGAMALKAN DOSA ITU SELEPASNYA TANPA DIKURANGKAN SEDIKITPUN DARIPADA DOSA ITU. (Hadith Sahih Muslim)

Seterusnya,ketika dalam perjalanan balik, Encik Munawer menanyakan saya tentang isu bersukan memakai seluar pendek yang diamalkan oleh segelintir penduduk Selayang Mulia. Saya katakan ada pendapat fiqh yang membahagikan aurat lelaki kepada 2 iaitu aurat ringan (paha) & aurat berat (kemaluan). Namun begitu, oleh kerana kesopanan masyarakat malaysia yang sudah biasa mengamalkan Mazhab Syafie, kita harus utamakan pendapat yang mengarahkan paha juga ditutup. Di sini saya bawakan artikel Tok Guru saya yang dipetik daripada akhbar Mingguan Malaysia suatu masa dahulu;



Batas aurat lelaki dan wanita
Mingguan Malaysia (19/08/2001 )
DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR

SOALAN: Saya ingin tahu batas-batas aurat lelaki dan wanita ketika berada di hadapan umum. Bagaimana aurat wanita Islam ketika bersama-sama wanita bukan Islam dan ketika berada di hadapan lelaki yang mahram dan bukan mahram.

Saya begitu keliru, kerana berbagai-bagai corak dan bentuk pakaian wanita Islam hari ini. Antara mereka ada yang memakai tudung kepala, tetapi masih memakai kemeja-T dan seluar jean. Harap tuan nyatakan juga yang mana satu pakaian Islam dan yang memenuhi ciri-ciri Islam sebenarnya.

ZURAIRAH, Sri Manjung, Perak.

Jawapan: Islam tidak pernah menentukan fesyen atau bentuk pakaian yang diberi nama pakaian Islam, kerana Islam menerima semua fesyen dan reka bentuk pakaian, asalkan pakaian itu menutup aurat dengan sempurna dan tidak membangkitkan nafsu seks, sama ada lelaki atau wanita.

Saya pernah menyebutkan dalam siri-siri tulisan saya terdahulu dalam ruangan ini, pakaian Melayu seperti kebaya labuh, baju kurung, sarung dan seluar besar boleh diterima sebagai pakaian yang memenuhi keperluan menutup aurat menurut kehendak Islam.

Kemeja-T dan seluar yang terlalu ketat, sehingga kelihatan bentuk badan dan pakaian yang terlalu nipis, tidak boleh dianggap pakaian Islam, kerana tidak mampu menutup aurat dengan sempurna. Demikian juga pakaian yang bertulis kata-kata yang tidak manis disebut seperti I Love You, Kiss Me dan sebagainya, tidak sesuai dipakai, sama ada wanita atau lelaki Islam, kerana tulisan itu memberi erti yang negatif dan bertentangan dengan nilai-nilai dan adab kesopanan Melayu dan Islam.

Aurat wanita Islam yang wajib ditutup, supaya tidak dilihat lelaki yang bukan mahram dan juga wanita yang bukan muslim ialah seluruh badannya, kecuali muka, dua tangan dan dua tapak kaki menurut sesetengah pendapat. Saya setuju dengan pendapat ini, kerana sederhana dan tidak menyulitkan wanita yang berkenaan.

Ada beberapa pendapat lain turut menyatakan hukum dan batas-batas aurat wanita, misalnya kewajipan menutup aurat itu hanya khusus kepada isteri-isteri nabi sahaja. Wanita biasa dan bukan isteri nabi, tidak wajib menutup aurat seperti yang disebutkan di atas, kerana tiada dalil menyebutkan dengan jelas bahawa mereka juga dikehendaki menutup aurat.

Selain itu, ada lagi pendapat yang agak keras, iaitu wanita dikehendaki menutup seluruh badan, termasuk muka, dua tangan dan kaki, kecuali sebelah mata kiri sahaja yang harus dibuka bagi keperluan bergerak ke sana sini. Bagi memenuhi keperluan ini, mereka perlu memakai pakaian seperti niqab yang menutup muka, di samping jilbab yang biasa dipakai wanita.

Saya cenderung kepada pendapat yang menyatakan muka dan dua tapak tangan harus dibuka, kerana keperluan hidup harian mendesak wanita membuka muka dan tangan. Hidup harian yang dimaksudkan, termasuklah pergerakan wanita yang berkerjaya, seperti guru dan pelajar. Mereka perlu membuka muka, ketika berada di luar rumah dan ketika berintraksi dengan murid-murid dalam bilik-bilik darjah, ketika berbincang dan ketika menduduki peperiksaan dan tempat-tempat kerja.

Saya kira pendapat ini cukup sesuai bagi menjalani kehidupan yang lebih selesa dan mudah, terutama bagi wanita dalam masyarakat seperti di Malaysia yang pada umumnya berkerjaya seperti juga kaum lelaki. Wanita yang berkerjaya pada anggapan saya, tiada alasan untuk tidak menutup aurat, tiada juga tanda-tanda menunjukkan bahawa pakaian yang menutup aurat itu, mengurangkan tahap kecemerlangan dalam perkhidmatan mereka.

Pendapat sesetengah orang yang membenarkan wanita mendedah aurat dan sebahagian besar anggota badannya kepada umum, agak keterlaluan. Sumber-sumber tafsir dan hadis menyatakan pendedahan aurat itu adalah aksi kaum jahiliah pada suatu ketika yang lalu dan ditolak oleh Islam.

Ulama berbeza pendapat pada menentukan hukum sama ada tapak kaki wanita juga termasuk bahagian aurat yang wajib ditutup atau bukan aurat. Sesetengah mazhab menyatakan tapak kaki tidak wajib ditutup, kerana ia perlu dibuka bagi keselesaan berjalan, lagipun tapak kaki tidak mendatangkan reaksi negatif kepada kaum lelaki.

Dalam surah al-Nur, ayat 30-31 menyatakan batas-batas aurat dan perhiasan yang harus dan tidak harus dibuka. Menurut tafsir Ibn Abbas, muka dan dua tapak tangan atau disebutnya sebagai perhiasan zahir dikecualikan daripada anggota badan yang wajib ditutup. Perhiasan batin, iaitu telinga, leher, rambut, dada, dua lengan dan betis hanya harus dibuka ketika di rumah atau ketika berada di hadapan keluarga terdekat, iaitu bapa, anak-anak, ibu bapa mertua dan adik-beradik.

Anggota yang lebih sulit seperti belakang, perut, kemaluan dan paha, tidak harus dibuka sama sekali, sekalipun di hadapan keluarga terdekat atau sesama wanita, sama ada muslim atau bukan muslim, kecuali kepada suami sahaja yang diizin melihat seluruh anggota isterinya.

Dengan kata lain, aurat wanita dari segi tempat terbahagi dua, iaitu di dalam dan di luar rumah. Di dalam rumah ketika di hadapan mahram, tidak wajib ditutup anggota-anggota leher, rambut, lengan dada, betis dan perhiasan yang dipakai pada anggota-anggota itu. Ketika di luar rumah pula, biasanya wanita lebih terdedah kepada orang ramai, ia hanya harus membuka muka dan tangan sahaja.

Hukum ini difahami daripada firman-Nya yang bermaksud: Wahai nabi! Suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan orang-orang perempuan yang beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya, semasa mereka keluar. Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal sebagai perempuan-perempuan yang baik (al- Azhab: 59).

Difahamkan perintah ini dikenakan kepada wanita-wanita yang masih muda, kerana bimbang keselamatan mereka diganggu lelaki yang tidak bermoral. Tidak benar, jika ada pendapat menyatakan Islam tidak mempercayai iman dan ketakwaan lelaki, kerana iman adalah soal yang terlalu nisbi, sama ada lelaki atau wanita. Penutupan aurat adalah sebagai langkah pencegahan sebelum sesuatu kejadian buruk berlaku.

Wanita yang sudah lanjut usia, atau disebut dalam al-Quran al-qaqaid min al- nisa, iaitu wanita yang tidak berminat lagi untuk berkahwin atau tidak lagi diminati lelaki, mereka harus membuka sebahagian pakaian luar yang menutup badannya, tanpa memakai perhiasan yang berlebihan, kerana dibimbangi keselamatan mereka terancam atau diganggu.

Hukum ini dijelaskan dalam surah al-Nur: Ayat 60 yang bermaksud: Mana- mana perempuan tua yang telah putus haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi, maka tidak ada salahnya mereka meninggalkan pakaian luarnya, tanpa bertujuan mendedahkan perhiasan.

Namun jika mereka tetap mempertahankan penutupan aurat dengan lebih sempurna, adalah lebih baik dan menjamin keselamatan mereka. Saya berpendapat, wanita tua ada baiknya juga memilih hukum yang dilonggarkan itu serta menerima keterbukaan Islam dalam soal aurat dan cuba merealisasikan hikmat yang tersirat disebaliknya, seperti merapatkan hubungan orang tua dengan masyarakat sekitar dan lain-lain.

Aurat wanita sesama wanita pula ialah seluruh badan, kecuali kawasan antara pusat dan lutut. Kawasan ini haram dilihat atau didedah, sekalipun tanpa berlaku fitnah yang dibimbangi.

Batas-batas aurat lelaki pula, ulama sepakat menyatakan kemaluan hadapan dan belakang merupakan aurat mughallazah (keras) yang wajib ditutup. Tetapi mereka berbeza pendapat tentang hukum paha, sama ada ia juga wajib ditutup.

Kebanyakan ulama berpendapat, paha termasuk aurat yang wajib ditutup bagi lelaki. Ini bermakna, aurat lelaki ialah kawasan antara pusat dan lutut. Mereka bersandarkan sebuah hadis riwayat Bukhari daripada Jarhad dan lain-lain yang menyatakan paha itu aurat. Sebahagian ulama berpendapat hadis ini terdapat beberapa kelemahan yang mencacatkan kesahihannya dari segi hujah dan pengambilan hukum.

Sesetengah ulama pula berpendapat, paha tidak termasuk aurat yang wajib ditutup, kerana ada hadis Anas yang juga diriwayat Bukhari. Hadis itu menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah membuka paha sucinya. Pendapat ini didukung oleh Ibn Hazm dan Imam Malik. Dalam kitab-kitab mazhab Malik menyatakan bahawa aurat lelaki hanya terbatas pada dua bahagian kemaluan sahaja.

Sebahagian ulama fekah cuba menserasikan antara dua pendapat ini dengan mencari jalan tengah, termasuk Imam Bukhari sendiri yang berpendapat hadis riwayat Jarhad lebih sempurna bagi penutupan aurat, sekalipun daif, manakala hadis Anas pula lebih sahih dari segi riwayat. Ini bermakna Imam Bukhari lebih cenderung kepada hadis Jarhad dalam hal penutupan aurat yang membabitkan hukum masyarakat.

Imam al-Syaukani juga lebih cenderung kepada hadis Jarhad yang menyatakan paha itu aurat. Menurut beliau, hadis Anas walaupun kedudukannya lebih kuat, namun ia lebih merupakan suatu pemberitahuan tentang keadaan nabi. Jalan pemberitahuan ini lebih khusus kepada nabi sahaja. Maksudnya, hukum itu tidak boleh diamalkan oleh umatnya secara umum dan menyeluruh.

Ibn al-Qayyim pula cuba mencari jalan serasi yang lain, beliau mengatakan aurat itu terbahagi dua, iaitu mughallazah (berat) dan mukhaffafah (ringan). Kemaluan hadapan dan belakang diketegorikan sebagai aurat mughallazah (berat), paha pula dikategorikan sebagai mukhaffafah (ringan). Bagaimanapun kedua-duanya dikira aurat dan wajib ditutup juga.

Pendapat yang besandarkan hadis Anas ini, memberi sedikit kelonggaran kepada ahli-ahli sukan dan pasukan beruniform yang memilih pakaian itu, jika tidak mengganggu pandangan orang ramai dan penonton. Hadis riwayat Anas menjadi sebaik-baik hujah kepada mereka.

Saya berpendapat, majoriti masyarakat Islam Malaysia yang berpegang kepada mazhab Syafie, pada umumnya masih belum dapat menerima pendedahan paha bagi kaum lelaki. Walaupun sebelum ini, beberapa pasukan beruniform mengenakan pakaian seluar pendek, seperti polis dan kanak-kanak sekolah. Pakaian itu kini bertukar kepada seluar panjang, kerana masyarakat Islam dan budaya Melayu tidak dapat menerima pendedahan paha kepada umum.

Monday, October 12, 2009

HANG TUAH FAIL SPM!

Relaks sekejap noo! meh mai tengok ni, biaq ceghia siket hari kita!

Thursday, October 8, 2009

SAYYIDINA ABU BAKAR PUN PERNAH MENCARUT KERANA ALLAH!


Pernah suatu ketika dahulu Malaysia digemparkan dengan kenyataan Tuan Guru Nik Aziz tentang Islam membenarkan memaki serta mencarut kepada orang. Kenyataan ini berikutan penerbitan buku SHIT oleh Shahnon Ahmad yang kuat menyindir para pemimpin UMNO. Isu ini telah mengundang kontroversi banyak pihak, tambahan pula apabila ianya keluar daripada seorang pemimpin bertaraf ulama’.

Sebelum kita mengulas lebih lanjut, kita perlu memahami dua perkara iaitu, (1) isu ini sudah terpalit dengan kerenah dan sihir politik yang mampu menutup kebenaran, dan (2)Tuan Guru Nik Aziz bukan bercakap kosong tetapi mengandungi maksud yang mendalam kerana keilmuannya yang tinggi. Oleh itu untuk memahami kenyataan beliau itu, kita perlu membuang jauh-jauh segala prejudis politik dan memerhatikan hujah serta fakta yang diutarakannya. Setelah meneliti hujah beliau, sekiranya masih dirasakan janggal, maka anda perlu membawakan hujah anda pula demi untuk mematahkan hujah beliau kerana Islam ditegakkan dengan hujah dan dalil bukan cakap kosong sahaja.

Semasa kes ini berlaku, seorang murid daya merangkap saudara telah menjemput saya untuk mengikuti program makan malam bersama Tuan Guru di Subang. Di dalam majlis tersebut Tuan Guru telah menjelaskan kenyataannya. Katanya;

Islam tidak pernah membunuh naluri atau kehendak manusia, tetapi Islam mengarahkannya ke jalan yang benar, contohnya:

1)Manusia sukakan seks, lalu Islam menghalalkannya dengan cara perkahwinan yang sah

2)Manusia sukakan harta, lalu Islam menghalalkannya dengan cara urus niaga yang sah dan tidak terlibat dengan rampasan, penipuan serta riba.

3) Manusia mempunyai keinginan untuk membunuh, lalu Islam menghalalkannya dengan cara Jihad fi Sabilillah.

4) Manusia mempunyai keinginan untuk memaki hamun serta mengutuk orang, lalu Islam menghalalkannya dengan cara meletakkan makian serta kutukan itu pada WAKTU-WAKTU TERTENTU SAHAJA.

Waktu halal bagi memaki orang ini bukan boleh disalahtafsirkan dengan melulu sebaliknya mengikut keadaan tertentu sahaja seperti;

1)Mendedahkan identitI orang yang telah menzalimi kita dengan tujuan mendapat keadilan daripada pemerintah. Firman Allah:

Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui (al-Nisa’[4:148]).

2)Menyedarkan ahli maksiat yang berterusan melakukan maksiat. Walaubagaimanapun ,makian atau kutukan ini dilakukan setelah teguran secara baik habis dilakukan. Makian ini juga dengan tujuan untuk menunjukkan betapa maksiatnya itu adalah jijik dan perlu ditinggalkan.

3)Mempertahankan Islam yang telah dihina dengan teruk. Buktinya ialah peristiwa Hudaybiyah ;

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1255.

Dari Miswar bin Makhramah dan Marwan r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. ke luar dalam masa peperangan Hudaibiyah. Ketika telah sampai di suatu jalan, Nabi s.a.w. bersabda:"Sesungguhnya Khalid bin Walid di Ghamim dalam pasukan berkuda orang Quraisy menjadi pengintip, maka ambillah jalan ke sebelah kanan". Demi Allah, Khalid tiada mengetahui. sehingga ketika dalam debu tentera berangkatlah Khalid memacu kudanya untuk memberi peringatan kepada orang Quraisy. Dan Nabi s.a.w. terus berjalan, hingga ketika beliau berada di puncak bukit yang akan dituruni menghadap mereka. Unta beliau bersimpuh (berhenti). Orang banyak berkata: "Hal, hal!" (ucapan menghalau unta). Unta itu tiada mahu berjalan. Mereka berkata: "Qashwa mogok, Qashwa mogok!" Nabi berkata:" Qashwa bukan mogok, dan itu bukan sifatnya. Melainkan ia ditahan oleh yang menahan gajah (yang datang untuk meruntuh Kaabah.".

Kemudian Nabi s.a.w. bersabda: "Demi Tuhan yang diri ku di tanganNya, setiap mereka minta pada ku satu rencana buat membesarkan kehormatan Tuhan, selalu aku berikan kepada mereka." Kemudian beliau mengherdik unta beliau, lalu ia melompat. Kata Rawi (yang meriwayatkan hadis): Kemudian beliau berpaling dari mereka sehingga berhenti di tengah padang Hudaibiyah. Di situ ada lobang yang berisi sedikit air. Orang banyak menyauknya sedikit-sedikit dan tinggal di situ, sehingga mereka menghabiskan air itu. Maka diadukanlah kehausan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu beliau mengambil anak panah dari tabungnya, kemudian beliau suruh mereka menancapkannya dalam lobang itu. Maka demi Allah, memancarlah air dengan derasnya sehingga mereka kembali.

Ketika mereka dalam keadaan demikian, tiba-tiba datanglah Budail bin Warqa' Al Khuzai dalam satu rombongan dengan kaumnya suku Khuzaah. Mereka adalah kepercayaan Rasulullah s.a.w. di antara penduduk Tihamah. Kata Budail: "Saya meninggalkan Kaab bin Luai dan Amir bin Luai, berhenti di tempat-tempat air Hudaibiyah dan dengan mereka ada unta yang masih menyusukan anaknya. Mereka akan memerangi dan melarang tuan untuk mengunjungi Baitullah. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bahawa sesungguhnya kami datang bukanlah untuk memerangi seseorang, akan tetapi kami datang untuk mengerjakan 'umrah. Sesungguhnya orang Quraisy itu telah dilemahkan dan dirusak oleh peperangan. Kalau mereka menghendaki, saya beri tempoh kepada mereka dan mereka dibiarkan tidak perang antara saya dan mereka, biarpun saya akan menang. Kalau mereka hendak masuk ke dalam apa yang dimasuki orang banyak, iaitu perang, mereka boleh melakukannya! Kalau tidak, maka mereka dapat berehat. Kalau mereka tiada mahu, maka Tuhan yang, diri ku di tanganNya, mereka akan saya perangi atas dasar tugas , sampai leher saya putus. Sesungguhnya Tuhan akan melaksanakan pekerjaanNya".

Budail berkata: "Nantilah saya sampaikan kepada mereka apa yang tuan katakan itu". Kata Rawi: Lalu ia berjalan hingga ditemuinya orang Quraisy. Katanya: "Bahawa sesungguhnya kami datang kepada mu dari laki-laki itu (Nabi Muhammad s.a.w.) dan kami dengar beliau mengucapkan sabdanya. Kalau kamu menghendaki supaya kami sampaikan kepada mu, kami lakukan". Orang-orang bodoh di antara mereka berkata: "Satu pun tidak perlu bagi kami untuk engkau khabarkan sabdanya itu". Orang cerdas di antara mereka berkata: "Terangkanlah apa katanya yang engkau dengar! Jawab Budak: "Saya dengar beliau bersabda begini dan begitu". Terus diceritakannya kepada mereka semua yang disabdakan Nabi s.a.w. Urwah bin Masuud lalu berdiri, katanya: "Hai kaumku! Bukankah kamu sebagai bapa?" Jawab mereka: "Ya!" Katanya: "Bukankah saya sebagai anak?" Jawab mereka: "Ya!" Katanya: "Kamu curigaikah saya'!" Jawab mereka: "Tidak!" Katanya: "Bukanlah kamu telah mengetahui bahawa saya meminta bantuan kepada penduduk 'Ukaz tatkala mereka tiada membantu saya, lalu saya datang kepada mu bersama-sama dengan keluarga, anak dan orang yang mengikut saya'? "Mereka menjawab:"Benar!" Seterusnya ia berkata: "Orang itu (Nabi Muhammad s.a.w.) sebenarnya telah memberikan rencana yang benar untuk kamu; hendaklah kamu terima dan biarkanlah saya datang menghadap beliau!" Jawab mereka: "Datanglah menghadapnya.".

Lalu ia datang menghadap Nabi . berunding dengan Nabi s.a.w. sebagaimana sabda beliau kepada Budak!. Waktu itu "Urwah berkata: "Hai Muhammad! Bagaimana pendapat tuan jika tuan hapuskan 'kebiasaan kaum tuan'? Adakah tuan dengar seseorang di antara orang Arab yang telah menghapuskan keluarganya'! Kalau sekiranya terjadi, maka sesungguhnya, demi Allah, saya tiada akan melihat pemimpin-pemimpin, dan sesungguhnya saya lihat percampuran dari orang banyak, bahawa mereka akan lari dan meninggalkan tuan".

Abu Bakar berkata kepadanya: "Hisaplah kemaluan Lata. Adakah kami akan lari ,meninggalkan beliau'!" Tanya 'Urwah: "Siapakah ini'!" Orang banyak menjawab: "Abu bakar!" Katanya: "Demi Tuhan yang diri ku ditanganNya! Kalau tidaklah kerana jasa-jasa engkau kepada saya yang tiada terbalas. nescaya saya jawab".Kata Rawi: Dan ia terus berunding dengan Nabi s.a.w. Setiap kali ia berbicara dijangkaunya janggut Nabi, sedangkan Mughirah bin Syuubah berdiri di belakangnya dengan memegang pedang dan bertopi waja.

Setiap 'Urwah menghulurkan tangannya ke janggut Nabi s.a.w., Mughirah memukul tangannya dengan ujung sarung pedangnya, katanya: "Jauhkan tangan engkau dari janggut Rasulullah s.a.w." 'Urwah mengangkat kepalanya lalu bertanya: "Siapakah ini?" . Orang banyak menjawab: "Mughirah bin Syuubah!" Kata Urwah: 'Hai penipu! Bukankah saya telah berusaha menolak tipuan engkau? Mughirah pada masa jahiliyah bersahabat dengan suatu kaum, maka ia membunuh dan mengambil harta mereka. kemudian ia datang kepada Nabi s.a.w., lalu ia masuk Islam". Waktu itu Nabi s.a.w. bersabda: "Adapun untuk masuk Islam, saya terima. Adapun harta, itu bukan urusan saya". Sesudah itu 'Urwah menatap sahabat-sahabat Nabi s.a.w. dengan kedua matanya. Kata 'Urwah: "Demi Allah, kalau Rasulullah s.a.w.meludah dan jatuh di telapak tangan seseorang di antara mereka, digosokkannya ke muka dan kulitnya. Apabila beliau memberi perintah, mereka cepat melakukan perintah itu. Apabila beliau berwuduk, hampir-hampir mereka berkelahi berebutan air bekas wuduk beliau. Apabila beliau bersabda, mereka merendahkan suara di sisi beliau dan mereka tiada menunjukkan pandangan pada beliau kerana membesarkannya.

DAN PANJANG LAGI HADITH INI..

Selain itu, banyak sekali dalil daripada al-Quran yang menunjukkan bagaimana Allah memaki hamun hambaNya yang degil, di antaranya:

1) Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina". (al-Baqarah[2:65]).

2) Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai (al-A’raf[7:179]).

3) Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya) (al-Anfal[8:22]).

4) Sesungguhnya sejahat-jahat (makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya). Sebab itu mereka tidak (mahu) beriman (al-Anfal[8:55]. 5) Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya? (‘Abasa[80.17]).

DAN BANYAK LAGI ayat-ayat yang menunjukkan Allah memaki hamun makhlukNya yang engkar daripada mentaati perintahnya.

Walaubagaimanapun, ayat-ayat ini bukanlah boleh dijadikan tiket khusus untuk menghalalkan maki hamun kepada orang lain. Namun ianya disebut sekadar untuk menjelaskan kesyumulan Islam yang amat bersesuaian dengan fitrah manusia.

Walaupun maki hamun dibenarkan sekiranya kena pada tempatnya, pilihan terbaik ialah untuk menggunakan perkataan yang baik dan sopan, sebagaimana arahan Allah kepada nabi Musa;

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut" (taha[20:44]).

Juga arahan berlembut kepada nabi Muhammad terhadapa para sahabatnya yang mengingkari baginda di dalam perang Uhud yang mengakibatkan kekalahan tentera Islam;

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya (Ali ‘Imran[3:159]).

Juga teguran Allah kepada baginda Rasulullah yang berharap untuk menebus kematian Hamzah di dalam perang Uhud dengan 70 musyrikin (Tafsir Ibn Kathir);

Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan (al-Nahl[16:126-127]).

PILIHAN DI TANGAN ANDA, NAK MAKI BOLEH BILA KENA MASA & SAATNYA, NAMUN PERLU DIINGAT, JIWA MANUSIA YANG BERSIH SUKAKAN KATA-KATA YANG BERSIH. Inilah juga saranan Tuan Guru Nik Aziz di dalam setiap kempen pilihanraya.

Sunday, October 4, 2009

BRAVO KHAIRI JAMALUDIN!

Pecah perut aku tengok video ni..cukup menarik, sinis:



Banyak lagi video menarik di sini- http://15malaysia.com/films/

Tuesday, September 29, 2009

KISAH ANAK-ANAKKU YANG TERCINTA

Jikalau diperhatikan, peringatan tentang akhirat menjadi di antara isu penting yang disebutkan oleh Allah. Bahkan perjuangan para nabi banyak menyentuh tentang isu Tauhid & akhirat. Firman Allah:

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak serta Nabi Yaakub, yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya) dan pandangan yang mendalam (memahami ugamanya).

Sesungguhnya Kami telah jadikan mereka suci bersih dengan sebab satu sifat mereka yang murni, iaitu sifat sentiasa memperingati negeri akhirat (Sad[38:46-46]).

Bahkan baginda Rasulullah sendiri di dalam kebanyakan hadithnya mengutamakan isu tauhid & akhirat, sabda baginda:


Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang percaya kepada Allah dan hari akhirat, maka ucapkanlah kata-kata yang baik-baik, atau diam saja. Siapa yang percaya kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah ia menyakiti tetangganya. Siapa yang percaya kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya."(Sahih al-Bukhari).

Di samping itu, kepercayaan yang mendalam kepada hari akhirat menjadi bukti keimanan seseorang manusia kepada Allah kerana mereka mampu mempercayai sesuatu yang tidak dapat dilihat. Tuan Guru Nik Aziz sering kali mengingatkan kepentingan menyebut isu akhirat di dalam setiap ketika kerana ianya merupakan perjuangan para nabi.

3 hari lepas(Ahad, 27 September 2009), berlaku satu peristiwa yang menarik terhadap anak-anak saya iaitu; Mujtaba (9 tahun), Asma (7 tahun) & Adna (5 tahun). Berbanding dengan dua adik-adiknya, Mujtaba lebh berdisiplin. Yang paling liat atau susah hendak disuruh ialah Asma.


**Asma Sofiah & Adna Solehah**

Ketika bertengkar dengan adiknya, Mujtaba mengatakan; "Asma tahu tak? kalau Asma degil macam ni, dosa Asma nanti akan pergi kepada Ummi!"

Asma yang tidak berpuashati dengan penjelasan abangnya telah bertanya kepada saya. Ringkasnya saya pun menjelaskan kepadanya, " Macam ni! kalau Asma degil, Asma buat dosa, mesti orang akan kata, budak ni mak ayah dia tak pandai ajar ni, kalau Asma buat dosa, mestilah Ummi & Walid dapat dosa sama pasal Ummi & Walid tak pandai didik anak-anak!"

Setelah mendengar penjelasan saya, mata Asma kelihatan terbeliak, lalu dia bertanya: " Habis tu kalau Ummi & Walid dapat dosa kita, macamana?"

Saya pun jawab dengan jawapan yang dikira ringkas & mudah nak difahami oleh budak darjah satu, " Nanti Allah akan bakarlah Ummi & Walid dalam neraka!"

Mendengar jawapan saya itu, Asma terus menangis teresak-esak. Saya terkejut, dan bertanya: " Eh kenapa Asma menangis?"

Asma menjawab : " Ya lah! Kita tak mahu Ummi & Walid kena bakar! Kita sayang Ummi & Walid!"

Saya begitu terkejut & terharu dengan jawapan ikhlasnya. Mulai dari saat itu saya dapat perhatikan dengan jelas, sikap dan perangai Asma berubah secara seratus peratus. Semua arahan dan suruhan saya & isteri ditaati sepenuhnya ..Ajaib juga penangan azab neraka & balasan akhirat ni..


**Mujtaba, Adna, Asma & Ahda(sepupu)**

Akhir kata marilah kita renung ayat-ayat ini, mudah-mudahan kebahagiaan hidup berkeluarga di dunia ini akan berkekalan terus ke akhirat.

Firman Allah:

Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh) (al-Zukhruf[43:67]).

Firman Allah:

Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya (al-Tur[52:21]) .

Firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan (al-tahrim[66:6])..

Monday, September 28, 2009

POLEMIK UMUR AISHAH KETIKA BERKAHWIN DENGAN RASULULLAH

Saya dapat e-mail daripada seorang murid saya yang bertanya tentang isu ini. Sebenarnya isu ini banyak menjadi momokan serta sindirian pihak yang senantiasa menentang Islam dan cuba mencacatkan keperibadian baginda Rasulullah.

Marilah kita sama-sama murnikan kekeliruan ini dengan meluangkan sedikit masa membaca fakta-fakta berikut;

Pemurnian Sirah : Umur Aisyah r.a semasa berkahwin dengan Nabi s.a.w

Proof 1:

Bila kah Siti Aisyah dilahirkan?

Semua ke 4 anak Saidina Abu Bakar bersama 2 orang isterinya lahir sebelum kedatangan Islam "Saidina Abu Bakar (ra) berkahwin dengan 2 wanita yang bernama Fateelah binti Abd Al Aza dan Ummi i Rooman dizaman jahiliah. Abu Bakar mendapat 4 orang anak dari perkahwinan tersebut, 2 lelaki dan 2 perempuan.Isteri pertama Fateelah melahirkan Abdullah dan Asma`. Isteri kedua Umm i Rooman melahirkan Abd al Rahman dan Siti Aisyah.Tabrani mengatakan Siti Aisyah lahir sebelum tahun 610 Masehi, sehingga Siti Aisyah kahwin dengan nabi Muhammad saw pada 623 masehi bersamaan 1 Hijrah bermakna umur beliau adalah 14 tahun.


Proof 2:

Umur Siti Aisyah waktu perang Uhud Peperangan Uhud berlaku pada 15 Shawal, tahun 3 Hijrah bersamaan bulan March tahun 625 Masehi Iman Bukari mengatakan didalam kitab nya : Kitabu'l-jihad wa'l-siyar, Arabic, Bab Ghazwi'l-nisa' wa qitalihinna ma`a'lrijal."Diriwayatkan oleh Anas: Pada hari perang Uhud.....Aku melihat Siti Aisyah (ra) dan Umm i Sulaim, mereka menyinsing kain untuk memudahkan mereka bergerak."Rasulullah saw mengenakan syarat yang ketat bagi mereka yang hendak mengikut peperangan Badar, Uhud dan Khandaq. Mereka mesti berumur 15 tahun ke atas. Sesiapa yang berumur bawah dari 15 tahun, tidak dibenarkan mengikuti peperangan Badar, Uhud dan Khandaq.Diriwayatkan oleh Bukari didalam kitab nya: Kitabu'l-maghazi, Bab ghazwati'l-khandaq wa hiya'l-ahza'b," Ibnu Umar (ra) mengatakan bahawa Rasulullah saw tidak membenarkan saya untuk mengikuti peperangan Uhud kerana ketika itu umur saya 14 tahun. Tetapi di waktu peperangan Khandaq, Rasulullah membenarkan saya ikut berperang sebab umur saya sudah 15 tahun.Mengikut sejarah Siti Aisyah ikut serta didalam peperangan Badar dan Uhud. Ini bermakna umur beliau adalah 15 tahun ke atas. Berdasarkan riwayat dari Bukari ini jelas menunjukkan;

1. Siti Aisyah mengikuti peperangan Uhud dan umur beliau sudah menjangkau 15 tahun.

2. Jika umur Aisyah pada 625 Masehi ( 3 Hijrah) ialah 15 tahun maka Siti Aisyah dilahirkan pada 610

3. Siti Aisyah kahwin dengan nabi Muhammad saw pada 623 masehi bersamaan 1 Hijrah bermakna umur beliau adalah 14 tahun


Proof 3:

Pertunangan Siti Aisyah

Menurut sejarah dari Tabrani; Saidina Abu Bakar waktu hendak berhijrah ke Habsyah pada tahun 615 Masehi, (7 tahun sebelum Hijrah ke Medina pada tahun 622 Masehi) beliau telah pergi ke rumah Mut`am. Abu Bakar meminta Mut`am mengambil Siti Aisyah menjadi isterinya. Mut`am yang telah menjadi tunangan Siti Aisyah menolak permintaan Abu Bakar disebabkan Abu Bakar telah memeluk Islam. Mut`am kemudian memutuskan pertunangan dengan Siti Aisyah. disaat Siti Aisyah berumur 6 tahun, maka kita akan dapati Siti Aisyah kahwin dengan nabi Muhammad pada 623 Masehi, maka umur Siti Aisyah telah menjangkau 14 tahun. ( umur 6 tahun + 7 tahun hijrah = 13 tahun + 1 tahun hijriah ).


Possibility 4:

Siti Aisyah masuk Islam

Muhammad saw menjadi nabi pada tahun 610 Masehi. Menurut sejarah Siti Aisyah adalah orang ke 21 atau 22 yang masuk Islam pada tahun pertama Nabi saw berdakwah iaitu pada tahun 610 Masehi. Maka jika Siti Aisyah masuk Islam pada tahun 610 Masehi maka umur beliau paling rendah waktu kahwin dengan Nabi Muhammad saw adalah 19 tahun.Jika kita mengambil umur Siti Aisyah paling rendah 6 tahun waktu masuk Islam maka kita dapati beliau dilahirkan pada tahun 604 Masehi ( 6 tahun sebelum Islam )


Possibility 5:

Surah Al QamarDiriwayatkan oleh Bukari didalam Kitab Tafsir nya:" Siti Aisyah (ra) mengatakan " Aku adalah seorang gadis" ketika surah Al Qamar - Surah 54 diturunkan. "Mengikut sejarah surah Al Qamar diturunkan pada tahun 613 Masehi. ( 9 tahun sebelum Hijrah). Ini menunjukkan bahawa Siti Aisyah lahir sebelum kedatangan Islam, iaitu sebelum tahun 610 Masehi.Jika Siti Aisyah lahir sebelum 610 Masehi maka paling rendah umur beliau kahwin dengan Nabi Muhammad saw pada 623 Masehi adalah 14 tahun


Possibility 6:

Umur Siti Aisyah dibanding dengan umur Fatimah (ra) {Menurut Ibnu Hajar didalam kitabnya: Al-isabah fi tamyizi'l-sahabah, Ibn Hajar al-Asqalani, Vol 4, Pg 377, Arabic, Maktabatu'l-Riyadh al-haditha, al-Riyadh, 1978}"} Fatimah (ra) dilahirkan ketika Kaaba di perbaiki. Ketika itu Rasulullah saw berumur 35 tahun...dan Fatimah (ra) adalah 5 tahun lebeh tua dari Siti Aisyah (ra) "Rasulullah lahir pada 570 Masehi.Rasulullah saw berumur 35 tahun pada 605 Masehi ( 570+35=605 M) Rasulullah saw berumur 53 tahun pada 623 Masehi ( Fatimah berumur 18 tahun )Umur anak Rasulullah saw, Fatimah pada 623 Masehi ada lah 18 tahun Umur Siti Aisyah pada 623 Masehi adalah 13 tahun ( 5 tahun lebeh muda dari Fatimah )Berdasarkan fakta ini kita dapati;Umur Siti Aisyah waktu kahwin dengan Rasulullah saw pada tahun 623 Masehi ialah 13 tahun Siti Aisyah dilahirkan pada tahun 610 Masehi


Possibility 7:

Umur Siti Aisyah dibanding dengan umur kakaknya Asma`Ibnu Hajar Al Asqalani mengatakan didalam kitab (Taqribu'l-tehzib, Ibn Hajar Al-Asqalani, Pg 654," Dia (Asma`) hidup 100 tahun dan meninggal pada 73, 74 Hijrah "Ibn Katheer mengatakan didalam kitabnya : (Al-Bidayah wa'l-nihayah, Ibn Kathir, Vol 8, Pg 372," Bahawa Asma adalah kakak Siti Aisyah. Asma wafat dalam tahun 73 Hijrah dan umur beliau adalah 100 tahun. Asma` adalah 10 tahun lebeh tua dari Siti Aisyah. {73 Hijrah = 695 Masehi} 695 Masehi/ 73 Hijrah umur Asma = 100 tahun maka 622 Masehi , 1 Hijrah umur Asma = 27 tahun (100 tahun - 73 tahun = 27 tahun ) sehingga umur Siti Aisyah - 17 tahun (10 tahun lebeh muda dari kakaknya Asma) 623 Masehi/2 Hijrah à Siti Aisyah kahwin dengan nabi Muhammad saw pada umur 18 tahun


Possibility 8:

Bilakah Siti Aisyah (ra) wafat?

Siti Aisyah wafat pada tahun 678 Masehi maka kita akan dapati ;

1. Umur Siti Aisyah pada 678 Masehi ada lah 73 tahun

2. Aisyah berumur 27 tahun pada waktu Nabi Wafat pada tahun 632 M (678-632=46) = 73 - 46 = 27 tahun, sehingga à

3. Aisyah berumur 17 waktu kahwin dengan nabi Muhammad saw pada 623 Masehi


Tambahan ana.. apa yang kita dengar ialah aisyah berkahwin masa umur 6 tahun atau 9 tahun.. sesetengah pendapat mengatakan penyelewangan fakta sejarah bahawa umur sebenar Aisyah r.a semasa berkahwin ialah 16 tahun atau 19 tahun.

DIPETIK DARIPADA :http://hafizhilmi89.blogspot.com/2008/12/pemurnian-sirah-umur-aisyah-ra-semasa.html

JUGA RUJUK DI SINI: http://www.understanding-islam.com/ri/mi-004.htm

Sunday, September 27, 2009

KEPADAMU KEKASIH

Saya meminati muzik, terutama sekali M.Nasir, kerana saya beranggapan beliau adalah sarjana muzik, genius & membawa banyak mesej ketuhanan. Berikut adalah di antara lagu kegemaran saya..

Tuesday, September 15, 2009

MISI RAMADHAN BERAKHIR



Alhamdulillah! Malam tadi 15 September 2009, saya berjaya menamatkan tugasan yang diamanahkan kepada saya sepanjang Ramadhan untuk mengimamkan terawih di Masjid Ibnu Sina Taman Tasik Titiwangsa. Tahun ini cabaran boleh tahan juga hebatnya kerana pada minggu pertama saya jatuh pitam di dalamatandas di rumah & terpaksa di masukkan ke wad di Hospital Selayang kerana dehydration akibat ceret beret yang teruk.

Ketika hampir pitam & mengalami kesakitan yang amat sangat di dalam tandas, 2 perkara yang bermain di fikiran; macamana dengan kelas aku besok? macamana dengan terawih aku? kedua-duanya tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Selepas itu, apa yang saya ingat, saya sudah terbaring di atas lantai tandas, kepala rasa sakit dan air sudah lama terbiar mengalir di tubuh.

Setelah dimasukkan ke wad, saya meminta agar dilepaskan sebelum maghrib, kerana janji untuk mengimamkan mesti diteruskan. Alhamdulillah! malam itu saya berjaya ke masjid, tapi cuma solat 8 rakaat,selebihnya disambung oleh imam masjid.

Perkara kedua yang membezakan Ramadhan saya daripada tahun-tahun terdahulu, ialah pengisian tazkirah sebelum solat. Saya akan membaca sedikit ayat untuk setiap juzuk,tetapi saya akan isi dengan tazkirah yang menjelaskan isi kandungan juzuk tersebut. Berbanding tahun lepas, saya hanya menulis tangan & selepas ramadhan, nota tersebut hilang atau dibuang.

Tahun ini pula saya menulis dengan rapi dan dicetak dalam 2 muka surat untuk setiap malam. Selepas memberikan tazkirah, nota tersebut diserahkan kepada haji Isamudin, setiausaha masjid. Beliau akan menampal di papan putih masjid. Ternyata nota ini memang panas & laris sehingga ramai jemaah yang mahukan salinan nota tersebut.

Insya Allah nota tersebut akan saya semak, buat penambahan & cetak untuk tatapan umum selepas raya. Secara lisan saya sudah berbincang dengan kawan saya Haji Ruhayat yang memiliki syarikat percetakan sendiri untuk tujuan percetakan. Marilah kita sama-sama berdoa agar hasrat ini tercapai dan buku ini akan berada di pasaran sebagai satu legasi saya kepada masyarakat Islam di Malaysia. Orientasi nota atau buku ini ialah sekitar isu-isu atau topik-topik setiap ayat di dalam al-Quran lengkap 30 juzuk.

Berikut diberikan beberapa contoh isu yang dibangkitkan sepanjang Ramadhan;

SURAH AL-ANFAL:48-51

Syaitan memungkiri janji di dalam perang Badar & kekalahan musyrikin,

Dalam perang Badar, Iblis telah menyamar sebagai Suraqah bin Malik bin Ju’syum bersama tentera-tenteranya (syaitan) di pihak musyrikin. Iblis telah mengapi-apikan tentera musyrikin. Setelah perang tercetus, Iblis yang dapat melihat tentera malaikat di pihak Islam, telah lari bertempiaran bersama tentera-tenteranya. Setelah pulang ke Mekah, pihak musyrikin menyalahkan Suraqah di atas kekalahan mereka, tetapi Suraqah menafikan penglibatannya di dalam perang itu. Setelah itu, musyrikin mulai sedar bahawa tentera Suraqah sebenarnya Iblis. Ayat ini menjadi dalil kemukjizatan al-Quran yang mampu menceritakan perkara ghaib. (Tafsir Ibn Kathir & Tafsir al-Razi).


AL-ANFAL : 60,

Kepentingan teknologi pertahanan untuk umat Islam
Dalam bahasa arab, perkataan kekuatan (قوة ) di dalam ayat ini datang dalam bentuk (nakirah/umum). Maksudnya apa sahaja teknologi ketenteraan & pertahanan semasa perlu dimiliki oleh umat Islam demi untuk menjaga kedaulatan Negara dan agama. Penggunaan kaedah nakirah ini juga menjadi tanda mukjizat bahasa al-Quran.

SURAH AL-TAWBAH: 75-78

Janji munafik yang tidak boleh dipercayai
Kebanyakan ulama’ tafsir mengatakan si munafik di dalam ayat ini ialah Tha’labah bin Hatib. Beliau yang asalnya miskin telah didoakan oleh Rasulullah menjadi kaya. Namun setelah menjadi kaya beliau enggan membayar zakat, akibatnya beliau telah dipulaukan oleh nabi dan mati dalam keadaan terhina di zaman khalifah ‘Uthman. Namun begitu, para ulama’ hadith menolak riwayat ini kerana Tha’labah adalah seorang sahabat yang terpuji dan pernah terlibat di dalam perang Badar. Allah sendiri menjamin keistimewaan ahli Badar yang bebas daripada sifat munafik. Ada juga riwayat yang mengatakan beliau telah mati di dalam perang Uhud (Tafsir al-Munir & Sahih al-Bukhari).

AL-NAHL:126-128,

Kisah kematian hamzah RA & arahan memberikan balasan yang setimpal
Nabi SAW ditegur apabila berharap untuk menebus kematian Hamzah di dalam perang Uhud dengan 70 musyrikin (Tafsir Ibn Kathir).

AL-MU'MINUN: 99-100,

Harapan kosong orang yang sudah mati untuk kembali semula ke dunia
Ayat ini menjelaskan kewujudan alam barzakh(dinding pemisah di antara dunia & akhirat yang tidak boleh ditembus). Ayat ini menjadi dalil menafikan akidah/kepercayaan kebanyakan masyarakat dunia tentang kepulangan roh ke dunia selepas kematian mereka pada waktu-waktu tertentu. Perjalanan roh manusia berbentuk sehala sahaja dari alam arwah-alam janin-dunia-barzakh & akhirat.

AL-NAML: 20-37,

Kisah burung hud-hud (belatuk) dengan Sulayman & Ratu Saba'

Burung belatuk yang terlewat datang membawa berita tentang kerajaan Saba’ yang diperintah oleh seorang ratu (Balqis) yang menyembah matahari. Kesedaran belatuk ini menunjukkannya turut mentauhidkan Allah. Bahkan nabi melarang membunuh burung belatuk (Sunan Ibn Majah, Sunan Abu dawud & Musnad Ahmad). Sulayman mengarahkan burung belatuk membawa surat menyeru kepada Islam. Kisah ini juga menjadi dalil bahawa para pemerintah wajib menggunakan segala kuasanya untuk menyeru kepada Islam sebagaimana baginda Rasulullah SAW juga mengutus surat seruan kepada islam kepada para pemerintah bukan Islam di sekitar tanah Arab.

Sulayman memulai suratnya dengan lafaz (BASMALAH) & ianya dianggap sebagai cop mohor beliau (ayat 30). Rasulullah SAW sendiri memiliki cop mohornya yang diukir pada cincin baginda & tertulis kalimah Tawhid. Ratu Saba’ telah membalas surat itu dengan mengirim hadiah. Kisah ini juga membenarkan umat islam menerima hadiah.

DAN BANYAK LAGI.....

Sunday, September 13, 2009

AHLI BARU KELUARGA ABDULLAH BUKHARI

Allah berfirman :

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya(al-Duha[93:11]).

Juga hadith nabi SAW:

“Empat (4) perkara yang mendatangkan kebahagiaan adalah, 1 – Isteri yang solehah, 2 – Rumah yang luas, 3 – Jiran tetangga yang soleh (baik), dan 4 – Kenderaan yang selesa.

Dan empat (4) perkara yang mendatangkan kesengsaraan adalah:

1 - Isteri yang buruk akhlaknya, 2 – Jiran tetangga yang jahat, 3 - Kenderaan yang buruk, dan 4 – rumah yang sempit (tidak selesa).” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)


Ahli baru ini lahir pada khamis 10 September 2009 di Sri Utama Auto..






Tuesday, September 8, 2009

KADAR MINIMUM KANDUNGAN SESEORANG WANITA


Allah yang maha bijaksana semenjak penciptaan manusia pertama telah menjanjikan perkembangan zuriat Adam AS akan berlaku dengan pesat. Adam atau makhluk jenis manusia telah dipilih untuk memakmur serta mentadbir bumi dengan menobatkan mereka sebagai khalifah di muka bumi. Pembiakan baka keturunan manusia telah diteruskan oleh Allah dengan pensyariatan perkahwinan dan kehidupan berkeluarga. Allah berfirman:

Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur" (al-A’raf[7:189]).

Keajaiban zuriat keturunan manusia kemudiannya berkembang biak dengan cara kandungan yang disebutkan oleh ayat di atas. Kesusahan mengandung pula hanya akan dirasai serta ditanggung oleh kaum wanita sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah.

Menyebut tentang kehamilan dan kandungan yang dialami oleh ibu-ibu, ilmu sains moden telah menemui berbagai-bagai fakta yang menarik mengenainya. Di antara satu fakta yang sudah diakui ilmu perubatan moden ialah tempoh minimum kandungan bayi yang lahir ialah 6 bulan.

Walaupun begitu, kes tentang kelahiran minimum ini ternyata amat jarang berlaku. Bahkan hanya teknologi perubatan di sesetengah Negara maju sahaja yang mampu untuk menjamin keselamatan bayi yang lahir bagi tempoh minimum itu.

Menyentuh tentang isu atau kadar minimum kandungan seseorang wanita, Allah telah berfirman:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".
(al-Ahqaf[46:15]).


Secara terangnya ayat di atas menerangkan tentang keutamaan berbuat baik kepada kedua ibu bapa terutama sekali ibu kita yang sememangnya banyak berkorban demi untuk membesarkan kita. Tugasan seseorang ibu bukan hanya mengalami kesusahan ketika mengandungkan bayi sahaja, bahkan berlanjutan sehingga habis tempoh susuan. Tempoh kandungan dan susuan itu pula berlanjutan selama 30 bulan.

Secara tidak langsung ayat di atas mempunyai bukti saintifik yang cukup unik, iaitu tentang tempoh minimum kandungan seorang wanita iaitu selama 6 bulan. Fakta ini ternyata diakui sahih oleh pengamal perubatan moden.

Untuk menjelaskan lagi fakta ini, elok kiranya kita rujuk kepada satu kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya (Tafsir ibn Kathir).

Pada zaman khalifah ‘Uthman ibn ‘Affan telah berlaku suatu peristiwa, di mana seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita daripada Bani Juhaynah.
Wanita itu kemudiannya telah melahirkan anak setelah kandungannya cukup 6 bulan. Kelahiran yang luar biasa tersebut telah menimbulkan keraguan di hati suaminya yang beranggapan bayi yang lahir itu bukanlah bayinya tetapi hasil hubungan sulit isterinya dengan lelaki lain.

Peristiwa ini telah dilaporkan kepada khalifah ‘Uthman dan ‘Uthman telah mengarahkan wanita tersebut direjam di atas tuduhan berzina sedangkan wanita tersebut menafikan tuduhan itu.

Setelah berita ini diketahui oleh Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib, beliau telah menghalang perlaksanaan hukum rejam itu dan mengatakan bahawa tempoh minimum kandungan seseorang wanita ialah selama 6 bulan. Beliau berhujjah dengan ayat al-Ahqaf di atas bersama dengan ayat 233 daripada surah al-Baqarah:

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; (al-Baqarah[2:233]).

Juga ayat 14 daripada surah Luqman :

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman[31:14]).

‘Ali menjelaskan bahawa ayat 15 surah al-Ahqaf menerangkan bahawa tempoh kandungan dan susuan seseorang wanita ialah selama 30 bulan. Tempoh susuan pula secara spesifik menurut ayat 233 surah al-Baqarah dan ayat 14 surah Luqman ialah 2 tahun ataupun bersamaan dengan 24 bulan. Lalu baki selebihnya 6 bulan adalah merujuk kepada tempoh minimum kandungan.

Ini adalah bukti kebenaran al-Quran yang menjangkau zaman kerana fakta ini hanya dapat disahihkan dengan ilmu Sains Moden setelah berabad-abad lamanya al-Quran diturunkan.

ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM